Insiden tersebut meragut nyawa salah seorang daripada dua mangsa dalam kejadian di Johor pada Selasa. -Facebook Nan Nan
SEORANG lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan mencuri kabel di Taman Nusa Bestari, Iskandar Puteri, Johor.Kedua-dua lelaki tempatan berusia 22 dan 34 tahun itu mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki dan kepala dalam kejadian berkenaan. Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada Selasa kira-kira pukul 4.30 pagi.Menurutnya, kedua-dua mangsa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan, namun seorang daripada mereka meninggal dunia ketika menerima rawatan pada Rabu kira-kira pukul 10 pagi.Ramlan berkata, kes pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.Bagaimanapun, polis kemudian mengesan satu video kejadian yang tular di Facebook menerusi akaun pengguna bernama Azman Mann Terr."Hasil siasatan lanjut mendapati terdapat unsur kecurian kabel yang mempunyai kaitan dengan kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan.Tambahnya, Telekom Malaysia (TM) Johor Bahru turut membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.Susulan itu, kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.Ramlan berkata, polis sedang mengesan suspek yang terlibat dan meminta saksi atau individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil membantu siasatan.Orang ramai boleh menghubungi Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri menerusi talian 07-511 3622 atau talian hotline 07-511 4486. -The Star